Tuesday, February 12, 2019

..bahasa hati..





















Bahasa Hati
suatu waktu rembulan gundah terkilan
berbalah nestapa syahdu bertandang
mengilusi tomahan pada bintang bintang
beradu esak pada kesetiaan

biasan muram gelora samudera
yakin ilusi pada rahsia disembunyi
pateh kalimat hina bila bicara hati mendesak
terbit seteru ttika berdua
menghukum dusta ciptaan sendiri
berhakim panasnya rasa

Tuesday, January 15, 2019

.... kekasih......

Kekasih ~ Usman Awang


akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu

akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu

akan kurebahkan matahari
menjadi laut malammu menghirup sakar madumu

Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi

Sunday, November 25, 2018

... halalkan lah...





 

hela nafasku bukan untuk ku
untuk mu ibu
untuk mu anak
untuk mu ayah
untuk mu sayang

nawaitu mengecapi solehan
bertasbih setiap langkah
bersyukur setiap suap
berakidah sekukuhnya
beritikaf kala sunyi

jariahku dengan niati jariah kamu juga
tangan ini hanya perantaraan dari kamu

lelah ini halalkanlah sebagai ibadahku sayang
sedikit masaku membelaimu, halalkanlah sebagai pahalaku anakku
tidak qiam di belakang mu ayah halalkanlah

maafkanlah,
bila kita tak selalu sujud bersama
bila tiada kesempatan mengaminkan doa mu ayah
bila tangan ku tak dikucup selalu anak ku
bila tanganmu jarang kukucup ibuku

halalkan lah
kerana hidupku hanya untuk kamu..

Sunday, May 13, 2018

... MELAYU KINI ....



Pedihnya sajak A. Samad Said


HAI MELAYU..

Hai Melayu!
Rumahmu semua dibina kontrak Indonesia,
Ekonomi pula dikuasai Cina,
Golongan profesional semuanya India,
Warung makan pun,
Mamak dan Siam yg berkuasa,
Bangla control cuci kereta,
Org Nepal yang menjadi jaga,
Org Pakistan usung karpet jaja merata,

Lalu melayu ada apa?
Harapkan Ustaz..
Saling menyesat,
Harapkan hiburan..
Lagi best filem barat,
Harapkan bahasa..
Byk telah bertukar kesat,
Harapkan tulisan..
Jawi pun mereka hambat,
Harapkan tanah..
Banyak digadai kpd Korporat!!

Hai Melayu!
Masih mendabik menjadi tuan?
Sibuk mahu menjadi tuan,
Rupanya kerja kelas bawahan,
Ditipu mentah org atasan,
Konon perjuangan ini untuk kalian!
Kerja sikit.. Sembang kencang,
Byk rungut.. Sikit rancang,
Siapa tegur.. Dituduh lancang,
Duduk warung.. Gigit kacang!

Hai Melayu!
Konon kau pantang dicabar,
Konon kau tangkas menyambar,
Tapi cuma indah khabar,
Rentakmu makin lama makin hambar,
Kau Melayu aku pun Melayu,
Aku menulis bukan cemburu,
Aku mahu engkau tahu,
Kenapa Melayu tak mcm dulu..

Hai Melayu!
Jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
Bila berdepan ekonomi semasa kau tidak berdaya,
Cuma yang kau tahu melaram bergaya.

Hai Melayu!
Kau melaung-laung di jalan raya,
Bagi tahu kepad dunia.. ini bumi aku yang punya,
Pada hakikat ia digadai kepada sepet yg kaya!

Hai Melayu!
Kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
Bila dah kaya kau jadi puaka,
Ini tandanya kau sudah derhaka!

Hai Melayu!
Sedarlah bangsa ku,
Buka lah minda mu,
Bersatulah bangsa ku,
Kerana Malaya bukan lagi milik mu!
Aku pun Melayu,
Engkau pun Melayu,
Bodoh Sombong harus di tepis,
Riak, Bongkak dan Hasad Dengki
Sesama bangsa harus guris,
Bersatulah Melayu kerana agama dan bangsa,
Moyang-moyang yang telah berjasa,
Kerana ini mungkin peluang akhir
Bangsaku untuk negara,
Berjasa dan Berkuasa..
Pedih menyengat..
Untuk muhasabah diri kita.

Jika Tak Nak Berubah,
Teruslah Jadi Melayu
Yg Layu Di Tanah Sendiri

Thursday, March 29, 2018

ratip si bidadari

persis menginjak teritip
bila datang sayang paling dalam
kiranya ingin pulang berteman pelangi

susur langkah melamar umang...
yakin pasti puputan sentuhan cinta
lalu hati dihiasi bermandi wangi
lancang mendambakan seorang ratu

meratib pada cantiknya bidadari......
muhasabah pada setia kekasih
berwirid pada himpunan pitis
seperti hela nafas ini..

sirna 
kerna susunanNya telah jadi biasa.

lupa pada ganasnya samudra 
yang mahu ancaknya selautan 
bukan pada lafaz kalimah sendu..pilu.
bukan pada arca terang di jernih air

bisik bidadari


bentangkan sejadah syukur
dakap lah aku dengan waafiah

berdansa dengan tasbih
sama sama kita sujud

Monday, March 19, 2018

cerita anak bangsa




mereka bukan sundal melacurkan bangsa
bukan sikaya penjerut dana 
fakir gelandangan  juga  bukan 
bukan pengemis penghadang jalan
bukan mubaligh penukar ugama

takbir mereka cuma di sudut kecil
sujudnya tak beralas sejadah
salamnya sekadar bisikan  di telinga

hasil kudrat hanya sesuap
dibahagi empat untuk keluarga
tiada daya menimbun harta
tiada daya merebut tahta
masih bersengketa mencari kenyang

tidak juga menjadi berita
jahil adanya krisis negara
atau kisah artis kawin cerai
atau saham naik harga
atau jenaka debat parlimen
damba  bangun pagi mencari rezeki
gagah dengan usaha

masalah suapan dan cicipan
masalah bil dan hutang
masalah susu dan sekolahan
lali dengan bebanan
dapat saja.. habis

nafas terhimpit sesak bukan kelelahan
bila ufti jadi murah tapi belanjaannya mahal
tabungannya juga ringan
meski sering dipesan

bukan hidup dalam hiba
masih manis walau segalanya tiada
masih punya cinta dan cita
moga warisnya tak seperti dia

20 Mac 18

Wednesday, March 14, 2018

Di Pinggir Samudera







Di Pinggir Samudera

tawa riang anak anak kecicilan
riuh meriah dijiwa dan wajah
lagu ombak tak mengusik peduli tika
tetap berkejaran menari sang ketam berpesta

waktu itu sama dengan waktu dahulu
masih berdiri aku merenung waktu
esok esok masih sempat kah lagi?
mengimbau lagi kenangan lalu
antara manisnya dosa atau jerihnya pahala

udah basah kaki kaki anak itu berdomba
pasir terlekat bukan saja di paha tapi udah di kepala
cerianya berkobar
tanpa ada fikiran lainnya bersuka
kerna minuman dah juadah terhidang sudah
bawah pohon rhu yang bersiul siul mesra

nanti bila istana pasirnya roboh
akan dibena lagi bersama
berpindah lagi jauh dari gigi air
biarlah air laut belum pasang lagi
biarlah badai kemelut yang tak pasti lagi
kerana datangnya nanti kami telah tiada

seolah membena terus harapan
bersama senyuman bangga
terbena istana pasir yang disangka kukuh

itu cerita remaja
masih jauh dan sempat lagi bergembira
masih sempat bercinta
masih sempat bercita cita

sedang aku terus kaku menghitung waktu
hampir sudah destinasi nyawa ku
menghitung baki nafas yang terhela
menimbang dosa dan pahala
bukan syurga yang dipinta
tapi jangan sekali kali ke neraka

15 Mac 18